FOLLOWERS

Monday, January 26, 2015

IBRAH PERISTIWA BANJIR 2014/15.............

MUSIBAH banjir yang me­landa negeri di Pantai Timur Semenanjung tanah air pada ketika ini mengajak minda umat Islam untuk merenung akan kekuasaan dan keagungan Allah SWT Yang Maha Berkuasa menjadikan segala sesuatu mengikut kehendak-Nya.

Allah berkuasa menurunkan hujan renyai-renyai, juga berkuasa menurunkan hujan lebat selama berhari-hari hingga menyebabkan banjir dan musibah alam.

Apabila itu terjadi tiada satu pun daripada kalangan makhluk mampu menolaknya melainkan perlu akur terhadap segala ketetapan qada dan qadar Allah.

Justeru, apabila terkena sebarang bentuk musibah tiada lain yang boleh dilakukan melainkan sabar atas ujian yang menimpa kerana segala yang baik mahupun yang buruk datang daripada Allah SWT.

Ini sebagai mana firman-Nya yang bermaksud; “Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Terjemahan Surah al-Baqarah: 155)

Selain itu terdapat hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu yang berlaku kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Antara lainnya, umat Islam diseru untuk kembali mempertautkan hubungan silaturahim sesama mereka dengan berusaha menghulurkan segala bantuan dan pertolongan dengan segala kemampuan yang ada bagi membantu meringankan bebanan serta kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.

Malahan bantuan dan pertolongan tersebut tidaklah hanya terhad ketika bencana berlaku semata-mata, eloklah juga jika ia dapat diperluaskan tanpa mengira masa dan tempat sehingga usaha saling bantu-membantu sesama manusia dapat dipergiatkan sepanjang masa. Ini kerana disebutkan betapa Allah sentiasa memberi pertolongan selagi mana seseorang sentiasa membantu saudaranya yang lain.

Selain itu, umat Islam diajak untuk sentiasa bermuhasabah diri kerana ada kemungkinan bencana dan musibah yang berlaku disebabkan oleh kerosakan dan kemusnahan terhadap alam yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.

Ini kerana dalam skop yang lebih luas keghairahan dan kegelojohan sesetengah pihak mencemarkan alam atas nama teknologi dan kecanggihan masa depan telah mengakibatkan lapisan ozon yang meliputi ruangan bumi semakin menipis sehingga berlaku pula fenomena pemanasan global.

Akibatnya lagi ais di kutub mula cair, paras air laut semakin meningkat, bumi menjadi semakin panas sehingga menyebabkan pula fenomena hujan lebat, banjir besar dan ribut taufan akhir-akhir ini.

Segala kejadian yang berlaku ini juga mengingatkan manusia betapa huru-hara dan kehancuran seluruh alam saat terjadinya hari kiamat lebih dahsyat dan menakutkan. Justeru, selagi nyawa masih di kandung badan setiap hamba diseru berusaha untuk berbakti dan mengumpulkan sebanyak mungkin amal kebajikan demi meraih kemuliaan dan ke­se­nangan hidup pada hari kemudian.

Gunakanlah segala modal kesihatan tubuh badan, kemewahan rezeki dan berbagai-bagai-bagai nikmat untuk berbakti dan mengabdikan diri kepada Ilahi.

Dalam pada itu, bagi yang masih leka berbuat dosa dan maksiat ingatlah betapa Allah Maha Berkuasa jua untuk menurunkan azab dan hukuman di dunia apatah lagi pada hari akhirat atas segala keterlanjuran dan pelanggaran terhadap hak-hak Allah.

Sedarlah betapa rahmat Allah Yang Maha Luas ke atas para hamba yang bergelumang dengan dosa namun belum dihukum atas dosa- dosa mereka agar segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Usah sudah terantuk baru tengadah, kerana dibimbangkan seseorang tidak sempat bertaubat dan berhadapan pula dengan balasan azab dan seksa yang pedih lagi tidak tertanggung oleh sesiapa pun.

Akhirnya, semua pihak diseru menghulurkan apa sahaja bantuan dan pertolongan yang termampu demi meringankan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.

Marilah kita berdoa dan melakukan solat hajat agar matahari segera menyinar, air bah segera surut de­ngan doa yang berbunyi: “Wahai bumi telanlah air mu dan wahai langit berhentilah dari pada curahan hujan mu”.

Didoakan juga semoga semua yang terlibat dengan musibah ini sentiasa tabah dan sabar kerana di sebalik kesusahan ada kemudahan yang dijanjikan oleh-Nya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/hikmah-di-sebalik-musibah-1.40906#sthash.AHLXLvcp.dpuf

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts